Pengguna Online Perlu Pastikan Logo PUIM Elak Penipuan
PUTRAJAYA – Pengguna yang ingin membeli-belah secara online dinasihatkan
supaya melakukan pembelian melalui laman web yang mempunyai logo Persatuan
Usahawan Internet Malaysia (PUIM) bagi mengelak sebarang penipuan atau
kerugian.
Presiden PUIM, Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata nombor siri dan logo PUIM
merupakan bukti bahawa status seseorang usahawan Internet telah disahkan oleh
pihak persatuan dimana hak pengguna dapat dilindungi.
“Buat masa ini sejumlah 130 syarikat atau perusahaan yang melakukan
jualan di internet telah mendapat logo PUIM.
“Sekiranya pelanggan berdepan dengan penipuan atau sebarang masalah
perkhidmatan, mereka boleh menyemak melalui PUIM dan kita akan dapat
menghubungi usahawan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
perjumpaan Usahawan Internet, di sini hari ini.
Sementera itu, beliau berkata laman sosial seperti facebook berjaya
melahirkan ramai peniaga dan usahawan baru, selain membantu mengembangkan
perniagaan mereka.
Menurutnya, kebanyakan peniaga kecil-kecilan yang berniaga melalui
Internet menyasar kepada pelanggan wanita dengan menjual produk kecantikan dan
kosmetik, tudung dan pakaian wanita. – Bernama