Powered by Blogger.

Jual Biri-Biri Dengan Harga RM315,930


Jeddah: Seekor biri-biri di negara ini dijual pada harga SR360,000 (RM315,930).

Menurut pemiliknya, harga haiwan itu diletakkan pada harga yang tinggi berikutan bakanya yang jarang ditemui.

“Biri-biri ini dari jenis baka yang jarang ditemui dan kepala serta tubuhnya berbeza dengan biri-biri lain,” kata Mutaab Al Wathinani.

Mutaab berkata, dia membeli biri-biri itu dengan harga SR50,000 (RM43,877) ketika binatang ternakan itu berusia 10 hari.

Sementara itu, seekor unta naik angin dan menyerang seorang pengembala warga Sudan sebelum memijaknya hingga mati di sebuah ladang di Arab Saudi.
Laporan media mengatakan mangsa mati di hospital di Bisha akibat pendarahan dalaman selepas ditendang unta berkenaan.

“Unta itu mengamuk lalu menyerang pengembala terbabit. Selepas mangsa jatuh, dia ditendang beberapa kali oleh haiwan itu,” kata jurucakap polis. - Agensi

Guna Paku Cari Makan

Oleh Norul Awatif Romli

Kuala Lumpur: Tabur paku besi di lorong laluan motosikal. Itu antara taktik dikesan dilakukan segelintir pengusaha bengkel dan individu tidak bertanggungjawab bertujuan memancitkan tayar kenderaan bagi meraih keuntungan mudah di beberapa laluan motosikal di sekitar ibu kota.
Pengusaha terbabit juga akan meninggalkan nombor telefon bimbit mereka di penghadang jalan dan dinding terowong, malah ada yang melekatkan iklan pada tiang papan tanda jalan raya atau pokok untuk khidmat menukar serta membaiki tayar motosikal yang pancit.

Kegiatan yang sudah lama dilakukan itu dikesan kembali aktif dengan penemuan kira-kira dua kilogram paku besi yang ditabur di sepanjang laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Khamis lalu.

Bukan itu saja, aktiviti berkenaan juga dipercayai dilakukan orang awam yang menjadikan pekerjaan menukar tiub tayar motosikal sebagai pendapatan sampingan mereka.

Tinjauan Harian Metro di beberapa laluan motosikal sekitar ibu kota mendapati terdapat banyak nombor telefon bimbit mekanik dan penukar tiub motosikal diconteng pada penghadang jalan dan dinding terowong menggunakan dakwat hitam.

Selain paku, terdapat juga individu tidak bertanggungjawab meletakkan peralatan tajam lain seperti skru dan serpihan kaca bertujuan memancitkan tayar.

Kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Azhar, 21, berkata, pengalaman tiga kali menjadi mangsa cukup memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati setiap kali melalui laluan motosikal.

“Sepanjang tiga kali terkena, saya terpaksa menghabiskan wang sehingga RM210 hanya untuk menukar tiub tayar motosikal yang pancit. Kadang-kadang saya tidak minta bantuan mereka, tetapi mereka dengan sendiri menukarkan tiub dan meminta bayaran itu.

“Kerana terdesak, saya terpaksa membayar jumlah itu kerana alasan diberikan harga berkenaan termasuk dengan caj perkhidmatan rondaan mereka di kawasan terbabit. Begitu mudah mereka mencari makan,” katanya.

Menurut Azhar, tindakan kumpulan terbabit menyusahkan pengguna jalan raya kerana perbuatan meletakkan paku atau peralatan tajam di laluan motosikal boleh mengancam nyawa penunggang.

Pelajar, Norihan Razali, 24, berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu dihentikan kerana boleh menyusahkan pelbagai pihak terutama golongan wanita yang menggunakan laluan motosikal pada waktu malam.

“Saya pernah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral ini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, saya baru pulang dari kelas malam dan tayar motosikal pancit dengan tiba-tiba akibat terlanggar paku.

“Apabila diperiksa terdapat banyak paku bertaburan di sekitar laluan itu. Saya bernasib baik kerana ada seorang pak cik yang lalu secara kebetulan dan membantu saya,” katanya.

Menurutnya, dia mungkin menjadi mangsa rogol atau samun sekiranya berjalan kaki sambil menolak motosikal ketika itu.

Sumber: hmetro


Empat lelaki didakwa bunuh remaja yang disyaki curi tabung masjid


KUALA LUMPUR: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja yang disyaki mencuri tabung masjid, dua minggu lepas.

Pengurus Keselamatan Mohamad Yusof Mohamad, 39, dan tiga lagi pengawal keselamatan Mohd Aswenry Majon, 26, Iweldo Putra, 19, dan Pondri Neriko,20, didakwa membunuh Mohamad Shah Reza Fauzi, 20, di tangga tepi pagar Masjid Al-Azim, Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 5 pagi, 3 Dis lepas.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh yang berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan, sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sementara itu, Iweldo dan Pondri dari Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan dikenakan dua sebatan selepas mengaku bersalah kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke Malaysia.

Ayuni mmerintahkan Iweldo dan Pondri menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 3 Dis lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pandan Indah 4/8, Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada 2.30 petang, 3 Dis lepas di bawah Akta Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-Bernama-

Azab 10 Minit Ditoreh Suami

Oleh Suraya Roslan
 
Seremban: "Hanya Allah mengetahui kesakitan yang saya alami ketika suami mengelar pipi, dahi, bibir dan tangan saya dengan pisau lipat,” kata Nor Hafazalina Mohd, 30, yang menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya itu.
 
Menurutnya, kejadian berlaku jam 5 petang Jumaat lalu di rumah mereka di Ampangan, di sini, selepas dia minta diceraikan kerana tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang tidak bertanggungjawab dan kerap keluar masuk penjara.
 
Nor Hafazalina berkata, suaminya yang berusia 30-an seperti naik hantu apabila mengelar muka dan tangannya lebih 18 kali biarpun dia meraung kesakitan dan merayu agar dikasihani.
Nor Hafazalina

 
“Puas saya merayu supaya dia menghentikan perbuatan itu, namun dia bagaikan naik hantu apabila tangan kanan menoreh muka manakala tangan kirinya menarik rambut saya,” kata ibu kepada dua anak lelaki itu yang ditemui di wad sebuah hospital, di sini, semalam.
 
Menurutnya, dia meminta cerai daripada suaminya yang dikahwini hampir 10 tahun lalu selepas berasa seperti digantung tidak bertali dan terpaksa menumpang di rumah ibunya di Ampangan, di sini.

Source: link