Powered by Blogger.

Lelaki Tertinggi Meninggal Dunia

IBU Stadnyk mengukur ketinggiannya.
London: Lelaki yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia semalam pada usia 44 tahun.

Leonid Stadnyk, yang dikatakan terlalu ‘pemalu’ sehingga enggan diukur untuk membolehkannya direkodkan dalam buku rekod dunia Guinness dipercayai 21 inci lebih tinggi daripada bekas pemain bola sepak England Peter Crouch.

Petani yang berasal dari perkampungan Podoliansty, Ukraine, dilaporkan meninggal dunia disebabkan pendarahan otak akibat masalah kesihatan berlanjutan.

Stadnyk pernah dilaporkan berkata: “Pada saya, ketinggian luar biasa ini satu sumpahan, hukuman daripada Tuhan. Ia bukannya sesuatu yang patut dibanggakan.

“Saya tidak tahu apa dosa dilakukan sehingga dihukum sebegini. Sepanjang hidup ini saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Saya tidak mahu terkenal disebabkan ketinggian luar biasa ini dan tidak ingin direkodkan dalam buku rekod Guinness,” katanya.

Malah, dia juga tidak pernah berkahwin kerana bimbang membawa kesusahan kepada pasangannya.

Stadnyk mula menunjukkan ketinggian luar biasa pada usia 12 tahun apabila ketumbuhan tidak berbahaya dalam otaknya mengakibatkan badannya mengeluarkan hormon pembesaran berlebihan.

Pada satu masa, keadaan dihidapinya itu yang dikenali sebagai ‘giganticism’ menyebabkan dia membesar hampir satu kaki setiap tiga tahun.

Dia juga memakai kasut bersaiz 27 (mengikut ukuran United Kingdom) disebabkan kakinya berukuran hampir 18 inci manakala tapak tangannya mempunyai ukur lilit lebih sekaki.

Jurucakap Guinness berkata, pihaknya memutuskan untuk menyenaraikan warga China Xi Shin sebagai lelaki tertinggi dunia pada ketinggian hampir 7 kaki 9 inci disebabkan keengganan Stadnyk memberikan kerjasama.- Agensi

Wanita Bertarung dan Membunuh Seekor Harimau Bintang

 
 
Rudraprayag (India): Seorang wanita berusia 54 tahun membunuh seekor harimau bintang dengan hanya mengguna peralatan kebun selepas haiwan itu menyerangnya ketika dia dalam perjalanan pulang dari ladang.

Kamla Devi yang cedera selepas bertarung selama kira-kira sejam dengan haiwan itu berhampiran kampungnya di daerah Rudraprayag, Uttarakhand Ahad lalu, kini dirawat di hospital.

Ibu satu anak itu hanya mengguna sabit dan penyodok kecil untuk melawan harimau bintang berkenaan sebelum berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Dia mengalami luka yang dalam dan patah di tiga bahagian tubuhnya serta kehilangan banyak darah sebelum tiba di hospital.

Haiwan itu kemudiannya ditemui mati berhampiran kampungnya, Koti Bodna.

Pakar hidupan liar, Lakhpat Rawal berkata, dia terkejut dengan masa bertarung yang begitu lama.

“Harimau bintang biasanya akan berundur jika mendapati mangsanya kuat. Biasanya, serangan itu hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit.

“Mungkin harimau bintang itu terlalu tua atau terlalu muda dan tidak berpengalaman.

“Mungkin juga haiwan itu terdorong untuk terus menyerang dengan harapan untuk membunuh wanita itu selepas melihat terlalu banyak kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya.

Kamla yang kematian suami 30 tahun lalu bagaimanapun memberitahu media tempatan, dia masih ingat keseluruhan kejadian dan tempoh masa ia berlaku.

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia terpaksa menjalani lebih 100 jahitan memandangkan luka yang dalam pada kepala dan kakinya.

Dia juga dirawat kerana patah tulang tangan kanan dan kiri.- Agensi