Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan
“Anak saya degil”. “Anak saya
lebih suka lepak dengan kawan-kawan.” “Anak saya hanya sibuk dengan facebook
dan internet”. “Anak saya kalau saya marah sikit, mulalah tarik muka, hempas
pintu dan berkurung dalam bilik.”
Luahan rasa ini mungkin
dikongsi kebanyakan ibu bapa masa kini terhadap anak mereka khususnya yang
berusia remaja.
Ibu bapa yang berdepan dengan
situasi ini mungkin marah, sakit hati atau berasa putus asa kerana memikirkan
mereka telah gagal memainkan peranan sebagai ibu bapa.
Ada juga ibu yang mungkin
berasa begitu sedih kerana anak yang dikandung dan dilahir dengan susah payah,
dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang tetapi akhirnya tidak mendengar kata.
Sesetengah ibu bapa mungkin
mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja anak remaja berterusan
berkelakuan mengikut sesedap hati mereka kerana tidak mahu lagi mengeruhkan
keadaan.
CARI FORMULA
Mungkin juga ada ibu bapa yang
mencari jalan untuk berkomunikasi dengan anak melalui pembacaan tetapi apa yang
dibaca mungkin tidak sesuai untuk diterapkan.
Kebanyakan buku mengenai
keibubapaan adalah dari Barat, justeru cara mereka melihat isu ini mungkin
berbeza daripada cara masyarakat tempatan khususnya orang Islam.
Menyedari keperluan ini, Pusat
Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia atau ringkasnya PPLI
akan mengadakan bengkel sehari mengenai keibubapaan pada 13 Okt ini.
Bengkel tersebut sesuai
dihadiri ibu bapa yang mempunyai anak remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun.
“Kita mengandaikan ibu bapa
yang ada anak remaja sedang mencari-cari apa formula sebenarnya untuk mendidik
anak remaja supaya masalah yang timbul antara mereka sekurang-kurangnya dapat
diminimumkan,” Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman memberitahu Bernama mengenai
matlamat bengkel keibubapaan itu.
UBAH KEADAAN
Ibu bapa sepatutnya mendapat
tempat di hati anak dan menjadi model contoh atau idola.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan
keadaan, ia hanya berlaku ketika anak itu masih kecil.
“Bila mula pandai bercakap, emak
bapa dialah segalanya. Emak dialah yang paling cantik. Emak dialah yang paling
pandai.
“Apabila anak mula bersekolah,
idolanya bertukar kepada guru. Kalau kita cakap tentang sesuatu, dia akan
merujuk kepada gurunya. Bagi anak ini, guru dia lebih menyakinkan.
“Masuk usia remaja, anak ini
berubah arah. Idolanya ialah rakan sebayanya. Kalau ibu bapa tidak mengambil
langkah selanjutnya, anak itu akan kekal begitu. Cakap ibu bapa tak dengar.
Cakap guru pun tak diendahkan,” Siti Fatimah yang mempunyai banyak pengalaman
dalam isu wanita dan kekeluargaan sebelum menyertai PPLI memberi pandangannya.
Beliau menegaskan, keadaan
tersebut perlu diubah di mana ibu bapa patut kekal menjadi idola anak serta
menjadi rujukan mereka.
KURANG MINAT
Program keibubapaan kurang
menarik penyertaan! Siti Fatimah melihat isu ini lebih kepada faktor kewangan.
“Nak keluarkan mungkin RM200
untuk menghadiri seminar atau bengkel sehari mengenai keibubapaan? Ada yang
berfikir RM200 ini lebih elok untuk membeli keperluan makanan rumah,” katanya.
Bagi pihak majikan pula Siti
Fatimah memberitahu bahawa ada yang mungkin beranggapan soal keibubapaan adalah
soal peribadi.
“Pihak majikan perlu ingat
bahawa pekerja yang mempunyai masalah keluarga, akan terjejas tumpuannya kepada
tugas dan ini akan menjejaskan produktiviti mereka.
“Katakanlah, seorang ibu yang
baru mendapat tahu bahawa anak gadisnya mengandung luar nikah, sudah tentu
fikirannya terganggu dan dia tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada
tugasan.
“Kalau kita selaku majikan
dapat memberikan kemahiran keibubapaan kepada mereka supaya perkara tersebut
dapat dielakkan, maka tak perlulah dia dan keluarganya berdepan dengan
kesulitan ini,” jelasnya.
Menurut Siti Fatimah,
kestabilan rumah tangga termasuk memiliki kemahiran keibubapaan adalah penting
ke arah melahirkan pekerja yang tenang dan bahagia yang seterusnya boleh
menyumbang kepada produktiviti organisasi.
Beliau memberi contoh di
Australia, syarikat-syarikat di negara itu menjadi semakin mesra keluarga.
Pelbagai kemudahan disediakan
bagi memudahkan keluarga para pekerja. Kalau di Malaysia, isu taska pun masih
belum betul-betul selesai, di Australia, majikan telah menyediakan “Children’s
room” bagi menempatkan anak pada usia persekolahan selepas tamat waktu sekolah.
“Dalam masyarakat kita, lepas
anak balik sekolah, mereka mungkin ke sekolah agama. Antara dua waktu
persekolahan ini, penjagaan anak perlu diuruskan juga.
“Bagi yang tidak ke sekolah
agama? Mereka mungkin tinggal di rumah bersendirian atau dengan adik-beradik
lain tanpa pengawasan orang dewasa.
“Nak ambil pembantu rumah,
bukan sahaja semakin susah dan mahal, kadangkala tidak berbaloi kerana anak
sudah besar,” katanya sambil menambah beliau menyasarkan sekitar 80 peserta
yang akan hadir pada bengkel keibubapaan itu.
MAKLUMAT BENGKEL
Bengkel keibubapaan, yang akan
diadakan di Dewan Besar IKIM, No 2 Langgak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur
itu membawa tajuk “Keibubapaan Anak Remaja: Anakku, Kawanku”.
Ia akan membincangkan tiga
modul.
Modul pertama “Keibubapaan
Anak Remaja Dari Perspektif Islam” akan disampaikan oleh pakar motivasi yang
tidak asing lagi, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga tetamu Segmen
D’Zahrah IKIMfm.
“Kita memanggil seorang ustaz
untuk modul ini kerana kita hendak bercakap mengenai keibubapaan anak remaja
menurut Islam.
“Dalam hal keibubapaan,
Saidina Ali bin Abi Talib iaitu khalifah Islam keempat, pernah berpesan,
‘Bermainlah dengan mereka untuk tujuh tahun pertama, disiplinkan mereka untuk
tujuh tahun yang berikutnya, berkawanlah dengan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya
dan selepas itu anggaplah mereka sebagai orang dewasa.
“Saya berpendapat, kita hanya
boleh berkawan dengan anak sekiranya kita telah melakukan dua tugas keibubapaan
yang lebih awal iaitu bermain dan mendisiplinkan mereka pada tujuh tahun
pertama dan kedua.
“Kita bermain dengan mereka
semasa mereka kecil dan kita disiplinkan mereka semasa usia persekolahan. Lepas
itu, baru kita boleh menjadi kawan mereka ketika mereka remaja,” kata Siti
Fatimah.
Kadangkala apa yang berlaku
ialah ada ibu bapa yang merujuk kepada psikologi Barat dan gaya keibubapaan
Barat dan melayan anak seperti kawan dari kecil sehingga remaja.
“Disebabkan itu, anak tidak
sempat didisiplinkan dan berlakulah kepincangan yang akhirnya menimbulkan
masalah dalam diri anak dan hubungan anak beranak itu sendiri. Sebagai orang
Islam, mari kita lihat kembali apa Islam kata mengenai hal ini dan amalkannya,”
tambah beliau.
TIPS UNTUK IBU BAPA
Modul kedua, “Ibu Kool, Bapa
Hebat” pula akan dikendalikan oleh Jamilah Samian yang juga penerbit tiga buah
buku termasuk “Ibu Kool, Bapa Hebat” dan “Groovy Tips untuk membesarkan
generasi Y dan generasi Z”.
“Jamilah akan memberi tips
bagaimana untuk membesarkan anak generasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) yang kita hadapi sekarang ini.
“Ibu bapa yang kool bukanlah
ibu bapa yang mengikut sahaja kehendak anak tetapi ibu bapa yang membimbing
anak dengan baik.
“Mereka tahu macam mana hendak
menegur anak tanpa melukakan hati mereka. Mereka tahu bagaimana hendak menyuruh
anak berbuat baik tanpa kelihatan seperti memberi arahan,” katanya.
Sementara Siti Fatimah sendiri
akan mengendalikan modul ketiga bertajuk “Keibubapaan Remaja: Cabaran Semasa”.
Untuk modul itu, beliau akan
mengambil beberapa isu yang boleh dianggap sebagai cabaran besar kepada ibu
bapa seperti pergaulan bebas, pendidikan seks dan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual
dan Transgender) dan bagaimana ibu bapa boleh memperkasa diri untuk menjelas
dan berbincang dengan anak mengenai hal ini.
“Isu LGBT umpamanya, mungkin
tidak ramai ibu bapa yang mampu membincangkan perkara ini dengan anak mereka.
Kita akan buat perbincangan berkumpulan dan dari situ kita akan bincangkan
bagaimana ibu bapa boleh menangani isu tersebut,” kata Siti Fatimah sambil
menyarankan agar lebih ramai golongan bapa menyertai bengkel ini.
Bengkel itu juga terbuka
kepada semua termasuk orang bukan Islam dan ahli akademik yang berminat untuk
mengetahui pandangan Islam mengenai keibubapaan.
Maklumat lanjut boleh hubungi
PPLI nombor 03-6204 6200 atau e-mel jie@ikim.gov.my atau
http://www.ikim.gov.my.
Oleh Melati Mohd Ariff –
BERNAMA