Hikmah Di Sebalik Hukuman Penjara
ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) — Sesal dengan perbuatannya,
Man tidak meratapi nasib diri menjadi penghuni Penjara Pokok Sena sejak 2005,
sebaliknya menganggap hukuman penjara 17 tahun atas kesalahan merogol itu satu
hikmah kerana Allah masih menyayanginya.
“Sepanjang berada di sini, saya mendekati Ilahi,
mendalami agama, mengaji al-Quran, mengimamkan solat dan menjadi pembimbing
rakan membaca al-Quran,” kata lelaki berusia 49 tahun itu kepada pemberita.
Man sebelum itu menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul
peringkat Penjara Pokok Sena pada majlis perjumpaan 1Malaysia Penghuni dan
Keluarga penjara berkenaan.
Katanya, selama hampir lapan tahun dalam penjara , dia
menyertai banyak pertandingan berunsur keagamaan dan pernah muncul naib johan
tilawah al-Quran peringkat Jabatan Penjara Malaysia.
“Selain itu, saya juga menyertai pertandingan hafazan dan
marhaban,” katanya.
Man yang berasal dari Sulawesi, Indonesia berhijrah ke
Malaysia pada 1978 dan telah mendapat taraf kerakyatan negara ini dan
menjadikan Jitra sebagai kampung halamannya.
“Saya bersyukur walaupun di sini, isteri dan anak-anak
sentiasa melawat,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Menurut Man, sebelum bergelar banduan, dia bekerja
sebagai buruh kontrak dan mengajar kanak-kanak di sekitar tempat tinggalnya
mengaji al-Quran.
Dia berazam untuk menunaikan haji di Makkah sebaik
dibebaskan kelak selain terus mendalami ilmu agama.
“Saya menyesali perbuatan saya sebelum ini. Sepanjang
berada di sini, banyak yang telah saya pelajari. Ada hikmah dalam setiap
perancangan Allah. Saya reda…,” katanya.
Man berkata dia sangat gembira dengan anugerah yang
diterimanya itu.
“Ini kali pertama saya terima anugerah. Berasa sangat
bangga dan gembira atas penghargaan ini. Saya akan kekalkan prestasi ini dan
akan sentiasa memperbaiki diri,” katanya.
Selain Man, seorang lagi banduan wanita yang dipenjara
kerana kesalahan dadah menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori wanita
manakala seorang banduan yang telah 33 tahun berada dalam penjara itu menerima
anugerah Rakan Pembimbing Penghuni.
– BERNAMA