Powered by Blogger.

Cikgu mengamuk belasah empat pelajar di sekolah hingga cedera

 
 
LUMUT 14 Feb. – Seorang guru lelaki yang didakwa mengamuk sebelum membelasah empat pelajar sebuah sekolah di Sitiawan dekat sini sehingga ada yang tercedera kelmarin, dipercayai mengalami masalah mental.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Idris Ramli memberitahu, tindakan guru berusia 34 tahun itu bukanlah perlakuan normal seorang pendidik dan ia kemungkinan didorong oleh tekanan yang dihadapinya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak sekolah, ia bukan pertama kali dilakukan guru berkenaan kerana dia pernah melakukan perbuatan sama 22 Januari lalu tetapi kes itu diselesaikan secara baik.

“Guru ini mungkin ada masalah dari segi mental dan tidak makan ubat. Tindakannya dalam kejadian itu dalam keadaan pantas dan bukan sikap seorang guru yang normal.

“Jika dia menggunakan rotan bagi menghukum pelajar itu adalah perkara biasa di sekolah. Bagaimanapun tindakan guru itu menumbuk dan menerajang pelajar sukar diterima,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Rabu lalu, empat pelajar sekolah itu termasuk dua pelajar perempuan cedera di beberapa bahagian badan ekoran dibelasah seorang guru sekolah itu.

Idris berkata, pihaknya telah menghantar dua pegawai ke sekolah berkenaan bagi melakukan siasatan dan mendapatkan gambaran terperinci berhubung kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, katanya, pihak jabatan telah mengarahkan guru yang telah tiga tahun mengajar di sekolah terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Seri Manjung.

“Guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Komputer itu telah diberi cuti rehat selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Februari ini.

“Sebaik cuti rehat itu tamat, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung sehingga siasatan kes berkenaan diselesaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berhubung kejadian tersebut yang dibuat keluarga mangsa.

Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan dan merakam percakapan guru berkenaan ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung semalam.

“Siasatan kes ini sudah selesai dan kini hanya menunggu laporan perubatan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment