Powered by Blogger.

Tak Sanggup Lihat Anak Meronta



ALOR GAJAH - “Ya ALLAH, selamatkanlah aku...” itulah rintihan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun ketika di rawat oleh seorang doktor di Hospital Besar Melaka, baru-baru ini.

Menurut ibu kanak-kanak terbabit, Zuriyah Yusof, 42, dia tidak sangka ayat itu terkeluar dari mulut anaknya, Nur Farah Wahida akibat terlalu sakit.

“Ketika itu, doktor sedang bubuh ubat pada badannya yang melecur. Bila doktor letakkan kapas di belakang badannya dan menarik kapas tersebut, Farah terus menangis dan meronta sakit.

“Waktu itulah, saya dengar Farah berkata 'dia tak nak mati dahulu, dia tak nak tinggalkan ibu',” katanya.

Menyorot kembali kejadian, Zuriyah berkata, anaknya dibawa ke Hospital Melaka, 1 Ogos lalu selepas diarahkan Hospital Alor Gajah untuk menjalani rawatan susulan akibat terkena ekzos motosikal pada Ramadan Ke-10.

Ketika kejadian, dia dan seorang lagi anaknya, Intan Nurazlinda, 16, dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya dan anak-anak menaiki motosikal sebelum diekori seorang penunggang tidak dikenali. Tiba-tiba orang itu halang laluan kami untuk meragut menyebabkan motosikal kami terbabas tepi jalan.

"Motosikal kami menghempap badan Farah dan mengenai ekzos, sementara penjenayah itu terus melarikan diri tidak jadi ragut," katanya.

Menurutnya, badan Farah melecur teruk akibat kejadian itu sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, sebelum merujuk ke Hospital Melaka

Kecewa layanan hospital

Bagaimanapun, Zuriyah kecewa apabila dia menerima layanan buruk ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

"Saya tidak menduga, bukan sahaja saya tetapi layanan terhadap Farah juga tidak memuaskan. Malah, kata-kata kurang enak juga dilemparkan seorang doktor wanita yang bertugas sehingga benar-benar mengguris perasaan saya sebagai seorang ibu.

“Sudahlah tak sanggup lihat anak sengsara, malah telinga dan hati saya juga begitu pedih mendengar setiap perkataan dilemparkan doktor berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jelatang, dekat sini, semalam.

Zuriyah berkata, dia juga kecewa apabila doktor berkenaan menuduh anaknya itu berpura-pura sakit untuk mendapatkan perhatian.

Sementara itu, masalah dialami Zuriyah itu mendapat perhatian Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang meluangkan masa melawat keluarga berkenaan, semalam.

Menurut Ab Rahaman, pihaknya sudah menghubungi Pengarah Kesihatan Melaka untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

“Kita akan tubuh jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan ini. Jika benar, kita akan pasti tindakan diambil kerana boleh memberi impak tidak baik kepada hospital berkenaan.

“Tahap perkhidmatan hospital Melaka kini baik. Bila kes sebegini timbul, ia tidak boleh dipandang remeh," katanya.

Ab Rahman berkata, buat permulaan kedua-dua pihak akan dibawa bersemuka untuk mencari penyelesaian secara baik tidak lama lagi.

Sumber
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment