7 Langkah Perlu Buat Jika Terlibat Dalam Kemalangan
Sebagai pengguna jalanraya, kita semua tidak ingin
terlibat dalam kemalangan, tetapi bak kata pepatah “Malang tidak berbau” ada
baiknya kita mempunyai ilmu untuk menangani situasi apabila terlibat dalam
kemalangan.
1. Periksa keadaan diri sendiri dan penumpang
Selepas kemalangan, kebanyakan mangsa mesti berada dalam
keadaan terkejut dan memang sukar untuk berfikir secara rasional. Jadi
tenangkan diri dahulu dan pastikan diri sendiri atau penumpang tidak mengalami
kecederaan. Jika ada kecederaan serius hubungilah ambulans dan dapatkan rawatan
segera. Pastikan mendapat salinan laporan perubatan untuk kegunaan tuntutan
nanti.
2. Periksa keadaan kenderaan dan sekeliling
Jikalau ada kamera, ambil gambar sebarang kerosakan yang
dialami, gambar kenderaan lain yang terlibat, gambar keadaan jalan dan
sekeliling. Ambil nota seperti waktu kemalangan, keadaan trafik, keadaan cuaca,
keadaan jalan dan sebagainya, supaya boleh mendapatkan gambaran yang lebih
jelas tentang kejadian tersebut. Jikalau kenderaan masih boleh dipandu,
pindahkan kereta ke tempat yang tidak mengganggu haluan trafik. Jikalau tidak
boleh dipandu, tunggu hingga towtruck datang.
3. Dapatkan maklumat dari pemandu lain
Pastikan anda mendapat nama penuh, nombor kad pengenalan,
nombor lesen memandu, alamat terkini dan juga nombor telefon semua pemandu yang
terlibat. Jikalau ada maklumat insurans lebih bagus. Jikalau kenderaan lain itu
adalah kenderaan komersial dapatkan butiran syarikat sekali. Jangan bertindak
melulu dan pastikan diri tenang pada setiap masa. Tindakan memarahi atau memaki
hanya akan menyukarkan keadaan dan tidak membantu sesiapa. Jika kerosakan
adalah kecil boleh berbincang untuk menyelesaikan masalah tanpa perlu
melibatkan pihak polis atau insurans.
4. Hubungi pihak insurans kereta anda
Jikalau kereta dalam keadaan yang teruk dan tidak boleh
dipandu, hubungi pihak insurans untuk mendapat bantuan. Selalunya pihak
insurans menyediakan khidmat bantuan kemalangan. Kadangkala ada pihak tertentu
akan datang pada anda dan meminta anda menandatangani sebuah borang supaya
mereka boleh menarik kereta anda ke bengkel terdekat. JANGAN tandatangan
apa-apa borang atau setuju untuk kereta anda ditarik. Tunggu bantuan daripada
pihak insurans anda sahaja. Jikalau tidak, kemungkinan anda tidak dapat
dilindungi oleh insurans kereta anda. Pastikan anda mendapat nombor telefon
towtruck dan juga nombor telefon bengkel berkenaan.
5. Buat laporan polis di balai polis terdekat
Selepas pihak insurans kereta telah menguruskan kereta
anda, bolehlah pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Membuat laporan
polis adalah WAJIB jika hendak membuat sebarang tuntutan kelak. Semua pihak
terlibat hendaklah membuat laporan polis dalam masa 24 jam dari masa
kemalangan. Jikalau mengalami kecederaan serius dan tidak dapat membuat laporan
dalam masa 24 jam, orang lain boleh membuat laporan bagi pihak anda.
6. Membuat tuntutan dari pihak insurans sendiri
Setelah selesai semua langkah di atas bolehlah buat
tuntutan dari pihak insurans. Hubungi pihak insurans dan berikan salinan
laporan polis. Selalunya pihak bengkel akan membantu membuat tuntutan kerana
mereka telah biasa buat. Pastikan anda mendapat semua salinan resit kos
pembaikian dan dokumen lain yang berkenaan untuk rekod anda. Dari segi
kecederaan pula, jika anda mempunyai insurans kesihatan/perubatan, bolehlah
menghubungi ejen insurans anda untuk membantu anda membuat tuntutan. Salinan
laporan perubatan dan salinan laporan polis adalah amat penting dalam proses
tuntutan jadi pastikan anda membuat salinan lebihan.
7. Membuat tuntutan dari pihak yang melanggar
Jika anda rasa bahawa sebab tunggal kemalangan tersebut
terjadi adalah dari kecuaian pihak yang lain, anda boleh membuat tuntutan terhadap
mereka. Jika ada maklumat seperti dalam perenggan 3, bolehlah hubungi pihak
insurans mereka atau jika mereka adalah syarikat bolehlah hubungi pihak
syarikat. Hantarkan surat untuk menuntut pampasan. Kebiasaannya mereka akan
menolak tuntutan tersebut dan anda hendaklah menggunakan khidmat peguam untuk
membuat tuntutan pampasan tersebut. Anda boleh menuntut gantirugi terhadap
kerosakan kepada kereta, kecederaan pada diri dan penumpang, dan juga sebarang
kerosakan atau kehilangan barangan peribadi ketika kemalangan tersebut dan
sebagainya. Anda boleh membuat tuntutan sedemikian walaupun anda telah mendapat
lindungan daripada pihak insurans sendiri. Membuat tuntutan pampasan
menggunakan peguam melibatkan kos tetapi kebanyakan peguam akan mengenakan bayaran
awal yang rendah dan menetapkan yuran akhir berdasarkan peratusan dari jumlah
yang dituntut.
Inilah 7 langkah atau nasihat yang perlu anda ketahui
jika terlibat dalam kemalangan dan saya pasti ia boleh memanfaatkan diri anda
kelak. Jika ada salah silap atau ingin memberi nasihat tambahan silalah komen.
Terima kasih.